Sekali pandang wajah Fahrin Ahmad dan Kamal Adli nampak seiras bagaikan adik-beradik
MEREKA hadir dengan pakej hebat dan mantap, kacak dan mempunyai persona tersendiri. Pastinya aura Fahrin Ahmad, 29, dan Kamal Adli, 22, sebagai lelaki sejati yang ditampilkan sentiasa membuatkan gadis seakan terpana sekali gus menagih cinta.
Sekali pandang wajah mereka nampak seiras dan bagaikan adik-beradik. Fahrin kini sudah kembali solo tanpa sebarang ikatan atau hubungan ‘teman tapi mesra’ dengan mana-mana wanita. Tapi maaf ya, Kamal khabarnya sudah berpunya.
Mereka mula mengukir nama sebagai pengacara dan kemudiannya melebarkan empayar seni dengan berlakon. Fahrin mula mendapat perhatian sejak lima tahun lalu apabila mengacarakan program XY di Astro Ria, kemudiannya mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan melalui drama sulung lakonannya, Salina.
Kamal Adli pula mula menerjah persada seni sejak ditabalkan sebagai Hero Remaja 2007/2008 dan dilamar sebagai hos Rentak Juara, Rhythm Of Champions dan Pandanganku Ceritaku. Rezeki terus melekat apabila ditawar berlakon drama Sunsilk Impian yang dulunya dikenali sebagai Impian Illyana, biarpun usianya di dalam liga seni tidak sampai pun setahun.
Kebelakangan ini nama Fahrin semakin menjadi sebutan apabila ‘episod cintanya’ dengan penyampai radio Era, Linda Onn dikatakan sudah ternoktah. Masing-masing dilihat berlawan-lawan memberi kenyataan balas, namun Fahrin masih tenang menghadapi kehidupannya kini. Fahrin masih sibuk memenuhi tawaran berlakon. Begitu tegar jiwa lelakinya dan dia menafikan rona ‘cinta’ yang terjalin antaranya dengan Linda menjunamkan popularitinya.
“Saya tidak melihat apa juga yang sudah saya lalui selama ini dengan dia sebagai sesuatu yang mampu memberi impak. Apa yang terjadi sudah terjadi dan ia datang dengan keputusan sendiri. Saya berpijak di bumi nyata dan tidak melihat kerjaya seni saya sebagai kerjaya sepanjang hayat. Selepas ini, saya kena pertimbangkan dan mula memikirkan hal lain termasuk perancangan menceburi bidang perniagaan dan berkeluarga (berkahwin).
“Saya tidak mengatakan populariti itu tidak penting. Tapi kita kena bijak merancang dalam kehidupan dan pada satu peringkat masa, saya sedar perlu memperlahankan kerjaya seni bagi memberi fokus pada hal lain,” tegas Fahrin yang mengakui belum punya kekasih hati.
Tambah Fahrin lagi, kalau ada jodoh semestinya dia akan mempertimbangkan hal itu dan membuat solat istiqharah. Walau apa juga yang telah melanda hidupnya, Fahrin mengakui dia masih Fahrin yang sama seperti dulu.
“Umur saya bukannya semakin menurun, soal cinta Insya-Allah akan datang tanpa diduga. Saya percaya pada sesebuah ikatan perkahwinan itu akan lebih memperbaiki diri dan mendekatkan diri kita dengan Tuhan. Tapi saya bersyukur kerana keluarga saya tidak pernah mendesak atau memaksa saya berhubung hal perkahwinan. Mereka relaks dan 'cool'," kata Fahrin yang mengakui ada menerima beberapa tawaran berlakon filem tapi masih belum ada hitam putih.
Menyentuh kembali 'kemelut' yang dihadapinya rentetan kisahnya dengan Linda Onn yang hebat dicanang dalam media, Fahrin masih mampu tersenyum mengatakan dia semakin matang untuk menangani situasi ini. Mungkin Fahrin cuba menyembunyikan apa juga gelodak perasaannya kerana hati menangis siapa yang tahu bukan?
Jelas Fahrin lagi, tiada apa yang silap antara mereka dan mengakui gadis tinggi lampai itu sangat baik orangnya. Supaya tidak bercanggah dan mengeruhkan keadaan, Fahrin lebih suka merujuk kepada kenyataannya sebelum ini.
“Semua ok dan sudah besar panjang untuk menghadapi segala-gala. Kematangan mampu membuatkan kita lebih tenang untuk menangani situasi. Saya meletakkan hormat yang tinggi kepada pihak yang satu lagi (Linda Onn). Buat apa nak bermusuh atau berdendam, kita boleh menilai sesuatu hal dengan matang dan bijaksana. Manusia yang berdendam dan bermusuh, tidak akan reda hidupnya.
“Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang telah terjadi. Antara prinsip saya dalam hidup, tak akan pernah rugi orang yang berbuat baik. Kita manusia tidak pernah sempurna dan boleh lari daripada melakukan kesilapan,” ungkap Fahrin penuh makna, sambil menafikan pelakon, Rima Melati dari Singapura sebagai penyebab 'perpisahan'nya dengan Linda Onn.
Mahu elak gosip jerat diri
BAGI Kamal Adli atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, demi tumpuannya kepada bidang seni, dia terpaksa menangguh dulu baki pengajiannya di sebuah institut. Situasi Kamal Adli mungkin tidak sehebat Fahrin yang berdepan dengan gosip yang ada kalanya memeritkan. Saat ini anak ketiga daripada tujuh beradik ini masih kalis gosip dan dia lebih selesa dengan keadaan itu.
Menurutnya, lebih baik jika peminat dan penggemar bidang seni meminatinya atas dasar kerja tapi tidak mustahil beberapa tahun lagi andai tersalah percaturan, namanya mungkin bakal dihinggap gosip.
“Kamal harus berterima kasih kerana biarpun tidak sampai setahun jagung berada dalam industri, Kamal menerima respon yang sangat positif semasa melakukan pengacaraan dan berlakon. Setakat ini tak adalah yang sampai suruh saya ‘gulung tikar’. Mungkin juga orang masih mempercayai bakat dan khidmat Kamal. Insya-Allah, Kamal akan terus komited dan kekal berjuang dalam arena seni.
“Kalau Kamal sekadar mahu main-main di dalam industri, lebih baik Kamal menarik diri di peringkat awal. Ada orang cakap, artis itu boleh naik kerana gosip tapi semuanya terpulang kepada cara gosip itu diterjemah dan diterima. Jika baik pendekatannya maka baiklah kesannya, jika sebaliknya ada kala ia mampu menjerat diri,” kata Kamal Adli yang tinggal bersama keluarganya di Bandar Baru Bangi.
Peluang berdamping dengan Fahrin untuk satu sesi fotografi bersama Hip, menjadi momen bermakna buat diri Kamal kerana dia menjadikan Fahrin sebagai contoh bagi memacu kerjaya seninya.
“Kamal suka gaya dia berlakon, muka dia memang muka hero Melayu. Gaya pengacaraan juga hebat dan saya menjadikannya sebagai contoh dan idola dalam dua bidang yang kami ceburi,” kata Kamal ringkas.
No comments:
Post a Comment