Saturday, November 8, 2008

Jaga badan cara Kevin



Kevin Zahri Abdul Ghaffar berkongsi rahsia pemakanan ideal untuk pembaca XY. Ikat perut atau bijak makan? Ayuh ikuti tip personaliti ini dan menangi hati pemilik kromosom XX!

KUALITI bukan kuantiti. Tertarik dengan kata-kata Kevin Zahri tatkala beliau berbicara mengenai rutin diet pemakanan yang diamalkannya. Baginya, tidak guna berdiet tetapi tidak tahu fakta kandungan dan makanan yang perlu diambil atau dielak.

Peluang bertemu dengannya dimanfaatkan untuk menyelami pola pemakanan seharian Kevin Zahri. Terkejut apabila jejaka berusia 29 tahun ini mendedahkan tabiat pemakanannya yang agak luar biasa.

"Ya, saya seperti jejaka lain yang menikmati sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam hinggalah supper. Jangan tidak tahu, saya menikmati enam menu hidangan setiap hari!," akui Kevin Zahri tanpa berselindung.

Pada ketinggian 172 sentimeter dengan berat 68 kilogram, ramai jejaka tentu cemburu dengan bentuk badan unggul dimilikinya.

Tip mudah Kevin Zahri, setiap hidangan mestilah seimbang kadar karbohidrat serta protein yang diperlukan tubuh. Dalam pada itu, Kevin Zahri juga mendidik diri supaya tidak menikmati sesuatu hidangan hingga terlalu kenyang.


Bagi jejaka ini, penting bagi setiap orang tahu hidangan yang diambil dalam memastikan pola pemakanan sepanjang hari dimanfaatkan, sekali gus mengimbangi keperluan diet sepanjang hari.
"Tidak kira bentuk hidangan yang kita ambil, minuman juga penting dalam mengimbangi pola pemakanan. Menjadi tabiat saya untuk minum air suam lebih lapan gelas sehari. Tidak kira berapa banyak sekali pun kita minum air suam, ia baik untuk kesihatan.

"Sekali pun saya menikmati teh tarik, saya akan memesan air suam dan pastikan ia habis," katanya yang giat menganjurkan seminar berkaitan pemakanan ideal bersama syarikat korporat di seluruh negara.

Kesederhanaan dirinya menyuntik keselesaan sepanjang fotografi tempoh hari di studio Berita Harian. Malah, terkejut apabila beliau bersetuju 'dimandikan' dengan susu segar dan bergambar dengan buah epal hijau semata-mata untuk menghidupkan penggambaran.

Lihat saja bagaimana kesudahan hasil gambar penggambaran ini serta beberapa pose istimewa Kevin Zahri khusus untuk pembaca. Ia boleh menjadi bukti bahawa apa yang dicita-citakan mampu menjadi nyata.

Bersama XY - Ikon Lelaki, pakar nutrisi terkenal ini bercerita lanjut mengenai kehidupan harian serta impak diet seimbang amalannya.

Terangkan perkembangan diri Kevin Zahri?

Seperti biasa, saya banyak terbabit sebagai penceramah untuk seminar korporat, membangunkan blog serta menumpukan kepada perniagaan teknologi maklumat (IT). InsyaAllah, bulan ini saya akan melancarkan sebuah portal cekodok.com yang memberi panduan lengkap soal pemakanan secara percuma.

Tahun depan, saya bercadang melancarkan pula e-book kesihatan... Inilah yang saya tumpukan buat masa ini.

Bagaimana boleh terbabit dalam bidang nutrisi pemakanan?

Ia berlaku secara tidak langsung kerana bidang sukan sudah menjadi darah daging saya. Selain aktif dalam sukan bola sepak dan tenis, saya sukakan bidang kecergasan.

Bermula daripada amalan hidup, secara tidak langsung saya mahu berkongsi bidang ini untuk sesiapa yang berminat. Selama 11 tahun mengamalkannya dan lima tahun lagi secara profesional, ia nyata memberi pengalaman cukup menarik.

Pandangan Kevin mengenai diet pemakanan lelaki Malaysia?

Secara umum, diet pemakanan lelaki Malaysia terutama Melayu banyak dipengaruhi gaya hidup masyarakat yang suka melepak di restoran mamak. Lelaki Melayu contohnya tidak mengambil peduli sangat soal pemakanan, apatah lagi mengikuti kelas kecergasan.

Lihat saja, bagaimana mereka menjaga tubuh badan apabila sudah berkeluarga. Faktor inilah yang kerap terjadi kepada lelaki normal yang sudah berkahwin.

Ada perbezaan faktor gaya dan bentuk badan lelaki bujang dan lelaki yang sudah berkahwin. Komen Kevin Zahri?

Dua faktor yang mengkelaskan gaya hidup antara lelaki bujang dan yang sudah berkahwin bergantung kepada situasi. Kebanyakan lelaki bujang dan muda, mereka aktif bersukan. Ini tentunya didorong faktor kadar metabolisme yang tinggi.

Sebaliknya, tidak kira sama ada bujang atau sudah berkahwin, jika kadar metabolisme menurun, ditambah pula gaya hidup dan minat bersukan makin berkurangan, lelaki mula mengalami perubahan. Itulah antara pendorong mereka menjadi boroi dan lesu.

Adakah Kevin Zahri merasakan yang lelaki Malaysia rajin bersenam?

Gaya hidup untuk bersenam bukanlah menjadi kegemaran lelaki Malaysia. Malas bersenam ini antara lain disebabkan faktor cuaca panas negara ini yang membuatkan masyarakat lebih gemar berjalan-jalan di pusat beli belah. Ia secara tidak langsung membentuk budaya masyarakat gemar membeli-belah.

Seharusnya mentaliti itu harus ditukar dengan menjadikan senaman satu gaya hidup baru. Tidak kiralah ke gimnasium, gelanggang futsal, tenis dan sebagainya. Aktiviti bersukan tidaklah secara rutin harian, memadai dua kali seminggu.

Umum melihat Kevin Zahri sebagai pakar nutrisi. Tetapi, dalam kehidupan seharian, bagaimana diet pemakanan yang anda amalkan?

Makan mana yang perlu dan tinggalkan yang tidak perlu dalam menjaga keseimbangan berat badan. Saya sendiri menikmati sebanyak enam hidangan setiap hari di mana 35 hidangan dalam tempoh seminggu.

Dalam tempoh itu, mungkin 25 hidangan adalah pilihan terbaik, manakala baki lain mengikut kehendak selera. Pentingnya kita mengetahui isi kandungan makanan yang kita ambil sepanjang hari dalam menjaga bentuk badan ideal.

Bagaimana dengan rutin harian pemakanan Kevin?

Bergantung kepada keadaan juga. Terus terang saya katakan, yang saya menggemari coklat, nasi lemak, teh tarik. Namun, saya akan pastikan keseimbangan makanan yang akan diambil sepanjang tempoh sehari.

Seperti teh tarik, ada kalanya saya menikmati sehingga tiga cawan sepanjang hari, tetapi pada masa sama turut menikmati air suam untuk mengimbangi kandungan manis. Ada juga kenalan yang pelik melihat pemakanan saya seolah-olah tidak mengamalkan diet, sedangkan saya akan seimbangkan dengan senaman yang betul.

Rutin waktu pemakanan saya bermula:

  • 8 pagi - Sarapan pagi
  • 10.30 pagi - Menikmati sajian ringkas yang mengenyangkan
  • 2 petang - Makan tengah hari
  • 4 petang - Minum petang
  • 8 malam - Menikmati hidangan makan malam
  • 11 malam - Minum tengah malam

    Adakah Kevin sesekali menikmati makanan yang keterlaluan dan tidak berkhasiat?

    Hampir setiap hari saya menikmati pelbagai menu hidangan sama ada ia benar-benar keperluan mahupun tidak. Tetapi penting kita seimbangkan menu hidangan dan tahu apa yang kita nikmati. Memang sukar untuk memahami isi kandungan bahan makanan dalam tempoh singkat, namun itulah proses pembelajaran yang saya sendiri pelajari sehingga kini.

    Sesetengah lelaki tidak peka soal pemakanan terutama makan di tengah malam. Bagaimana Kevin melihat situasi ini?

    Kita tidak boleh menolak situasi sedemikian kerana inilah yang menunjukkan kebahagiaan masyarakat Malaysia. Bersantai di restoran mamak dan kopitiam menjadi suatu gaya hidup yang menceriakan budaya masyarakat di negara ini. Sekalipun kita nikmati minuman manis contohnya, seimbangkan juga dengan air mineral.

    Terangkan personaliti Kevin Zahri?

    Saya seorang yang easy going, tidak sombong, menggemari aktiviti bersukan. Apabila bergaya pula lebih selesa dengan seluar denim dan kemeja-T. Saya menikmati kehidupan ini dengan penuh gembira.

    Adakah Kevin mementingkan kesempurnaan?

    Bergantung kepada keadaan dan situasi. Saya tidak mudah melatah dengan benda yang kecil-kecil. Setiap yang dilakukan seharusnya lebih profesional.

    Bakat Kevin yang mungkin orang tidak tahu?

    Secara teknikal mungkin berkaitan dengan bidang nutrisi. Saya boleh juga mendalami dan menguasai pelbagai bidang sukan.

    Bagaimana dengan cara berfesyen Kevin?

    Saya gemar gaya yang kasual seperti pakaian di British India. Sebolehnya saya gemar menggayakan denim dan kemeja tetapi apabila perlu mengenakan kemeja dan tali leher, saya akan ikut protokol itu. Aksesori pula bagi saya memadai sekadar telefon bimbit, dompet dan kasut yang bersesuaian.

    Aktiviti waktu lapang?

    Selalunya bersukan. Hampir setiap hari saya akan isi dengan aktiviti bersukan. Skuasy, menonton wayang dan melalui kehidupan yang memang saya rindukan seperti bercuti dan menikmati hidangan makan malam istimewa. Saya juga suka memasak sesuatu yang ringkas seperti stek ayam dan ikan. Jangan tidak tahu saya boleh menikmati resipi hidangan sama hampir setiap hari mengikut selera saya.

    Seksi seorang lelaki mengikut pandangan Kevin Zahri?

    Lelaki yang menepati gaya kontemporari bukan saja dari aspek fizikal semata-mata tetapi mengimbangi cara personalitinya sehingga menampakkan ciri-ciri itu. Gaya seperti Brad Pitt contohnya menyerlahkan ciri-ciri itu.

    Bagaimana pula gambaran seksi seorang wanita?

    Ia banyak berkait rapat dengan ciri fizikal yang menampakkan daya penarik seorang wanita.

    Wanita pilihan Kevin Zahri?

    Wanita yang memiliki ciri-ciri keibuan sebagaimana karektor ibu saya sendiri. Ia tidak saja penuh dengan kasih sayang, malah memahami dan memberi sokongan dalam apa saja situasi.

    Perancangan 2009 Kevin Zahri

    Mahu menikmati kehidupan dengan penuh kegembiraan dari Isnin hingga Ahad. Mahu setiap perkara yang dilakukan itu tidak semata-mata kerana duit tetapi mahu dibayar dengan kualiti kehidupan kita. Mungkin pada masa sama, tahun 2009 akan membawa saya kepada satu program TV membabitkan kecergasan.

    PROFIL: Kevin
    Nama: Kevin Zahri Abdul Ghaffar
    Umur: 29 tahun
    Tarikh lahir: 12 Disember 1978
    Tempat lahir: Hamburg, Jerman
    Tinggi: 172 sentimeter
    Berat: 68 kilogram
    Laman web: kevinzahri.com

    Kevin Zahri mengenai

  • Diri sendiri.
    Pada satu peringkat nanti, saya akan menjadi seorang lelaki biasa yang melalui kehidupan normal.

  • Diet.
    Amalan sepanjang hayat untuk kesihatan seimbang. Tidak perlu angan-angan untuk amalan diet pantas kerana pemakanan harus seimbang sepanjang hayat.

  • Susu.
    Minuman ideal seimbang.

  • Wanita.
    Kurniaan Tuhan untuk lelaki.

  • Lelaki.
    Bersyukur bergelar seorang lelaki.
  • No comments: